Kita pernah mendengar , ada rakan yang bersemangat melakukan kerja pada satu - satu masa , tetapi , ia hanya sekejap saja . Selepas itu , dia kembali bersikap malas dan bosan melakukan kerjanya . Soalnya mengapa ini terjadi ? Adakah ia berpunca dari tempoh bekerja yang lama ? Hampir 70% manusia di muka bumi ini mengalami keadaan yang sama .
Bila hendak pergi ke tempat kerja , hati berasa begitu berat untuk bangun , bersiap dan melangkah pergi . Apatah lagi jika terpaksa meninggalkan anak - anak yang masih kecil yang memerlukan pelukan dan dakapan kita di subuh hari .
Namun , walaupun berat hati , kita perlu melepaskan pelukan itu dan bersiap untuk pergi ke tempat kerja . Mungkin untuk sampai ke sana pun pelbagai cabaran perlu diatasi . Mungkin perlu meninggalkan anak - anak dengan pengasuh atau nurseri . Atau , mungkin perlu naik bas turun bas dan bagaimana pula jika pagi itu hujan lebat ?
Semua ini menjadi sebab mengapa hati berasa berat untuk ke tempat kerja . Namun , ketahuilah juga bahawa ada orang yang tidak perlu menghadapi semua itu tapi masih tidak bersemangat untuk pergi kerja!
Jadi maksudnya , perkara ini bukanlah disebabkan cabaran yang perlu diatasi untuk ke tempat kerja tetapi ada sesuatu yang lebih besar yang menjadi batu pengikat kaki daripada melangkah dan hati daripada melonjak mahu ke tempat kerja .
Kebanyakan orang bekerja semata - mata kerana mahukan gaji yang diterima pada hujung bulan . Tidak ada salahnya berharapkan perkara ini . Namun , apa yang banyak terjadi bila inilah sahaja yang menjadi pendorong , lama kelamaan perasaan teruja itu padam .
Apatah lagi bila gaji masih tidak naik - naik dan kerja mula bertimbun . Hati mula memberontak dan marah mengapa diri ini menjadi mangsa yang tertindas !
Maka , bila ini terjadi , sebuah soalan akan terbit . Soalan itu; "Mengapa anda di sini?" Maksudnya , mengapa anda berada di tempat kerja anda ?
Adakah anda merasakan semua itu satu kebetulan ? Adakah anda menyangka anda di situ tanpa sebarang sebab yang penting ? Sebenarnya , jawapan kepada soalan ini amat penting . Jika anda tidak jelas mengapa anda bekerja di tempat kerja anda selain daripada untuk meraih gaji , maka motivasi bekerja tidak wujud lama . Ini adalah kerana tidak hadirnya tujuan yang mendalam .
Selalunya kita hairan dan kagum bila melihat ada sesetengah orang itu tidak jemu - jemu bekerja dan membantu orang lain . Seolah - olah mereka mempunyai 'magic' di dalam diri mereka . Sebenarnya , 'magic' ini dimiliki oleh semua orang . Ia terletak pada diri spiritual kita , iaitu dimensi diri yang keempat diri kita .
Dimensi diri yang keempat ialah diri spiritual kita . Di sinilah kekuatan diri dalaman kita . Keperluan diri spiritual ialah untuk melakukan kebaikan untuk manusia sejagat . Meminjam kata - kata Stephen Covey - meninggalkan legasi . Apa maksudnya ?
Untuk melakuakn lebih daripada cuma untuk diri sendiri . Melakukan sesuatu kerana mahukan hidup semua manusia di dunia ini bahagia . Menambah nilai kepada hidup manusia sejagat . Hidup tidak hanya terhad tetapi lebih untuk memenuhi tujuan ciptaan .
Apa maksudnya dengan kata - kata yang lebih mudah ? Maknanya , anda tidak menjadi seorang doktor atau jurutera atau apa - apa sekali pun kerana hanya mahukan rumah yang besar , kereta mewah , yang dibanggakan dan diagungkan oleh manusia .
Tetapi anda menjadi semua itu dalam konteks menambah nilai dan kebaikan serta menabur jasa sehingga meninggalkan legasi cemerlang . Bila anda bekerja kerana ini , maka anda menjadi lebih berdaya dan bersungguh - sungguh kerana anda nampak bagaimana kehadiran anda dan kerja anda memberi kesan kepada dunia . Persoalannya , sanggupkah anda terus hidup jika kesan itu adalah negatif ?